Pages

Monday, December 13, 2010

Inap Desa Di Atas Rakit

KOTA TINGGI: Jojo Rakit yang berkonsepkan inap desa di atas air dengan dikelilingi keindahan pokok bakau pastinya memberikan ketenangan dan suasana nyaman sesuai untuk bersantai seisi keluarga.

Destinasi pelancongan terbaru di negeri ini terletak di perairan Kampung Tanjung Buai dan hanya 12 kilometer dari Kota Tinggi.

Pada masa sama, Jojo Rakit berada di lokasi strategik untuk kaki pancing kerana ia lubuk ikan seperti kerapu, pari, unga, sembilang, merah, siakap dan pelbagai spesies lagi. Bukan itu saja, pengunjung juga bebas melakukan pelbagai aktiviti kegiatan nelayan seperti menjaring, menjala, merawai, bubu serta bento (ketam).

Dengan hanya membayar kos penginapan mengikut keselesaan, pengunjung boleh menikmati pelbagai kemudahan lain yang disediakan di Jojo Rakit seperti tempat istirehat dengan televisyen dan karaoke.

Malah, bagi mereka yang berkeluarga, jika mahu mencari kelainan, pastinya memasak dan makan bersama di atas laut memberi pengalaman unik serta menarik kerana kemudahan dapur dan set barbeku turut disediakan.

Bagi yang selesa menikmati hidangan masakan masyarakat tempatan, pakej serendah RM5 hingga RM15 membabitkan menu sarapan hingga makan malam turut disediakan.

Pengurusnya, Syed Ben Bella Alhabshee Syed Agil berkata, berkeluasan 30,000 meter persegi, Jojo Rakit yang diilhamkan dari 200 tong pelampung mampu menampung 80 pengunjung pada satu masa.

Berkaitan sewa bilik, Ben Bella berkata, kadar sewa mengikut saiz iaitu bilik besar yang mampu memuatkan lima individu berharga RM100, sederhana untuk tiga individu (RM70) dan RM50 untuk bilik kecil yang boleh memuatkan dua individu.

(Dipetik dari MyMetro)

Pokok bakau tarikan Jojo Rakit

 
 KOTA TINGGI: Pelbagai keunikan dan tarikan pasti memikat pengunjung yang julung kali memijakkan kaki di Jojo Rakit, yang terletak di Kampung Tanjung Buai, Teluk Sengat, di sini.
Lebih menarik kedudukan Jojo Rakit sebagai homestay di atas rakit, menghadap Pulau Tanjung Surat, Tanjung Langsat dan Pasir Gudang, mencetuskan ketenangan kepada semua peringkat umur.
Keaslian alam sekitar di Jojo Rakit terjamin kerana dikelilingi keindahan pokok bakau yang membangkitkan suasana nyaman. Pengurus Jojo Rakit, Syed Ben Bella Syed Agil Al Habshee berkata, pengunjung juga dapat melihat keindahan cahaya lampu kapal berlabuh pada waktu malam di perairan Tanjung Buai.
 
“Kami mempunyai bilik besar yang boleh membuatkan maksimum lima orang hanya RM100 untuk satu malam, manakala bilik sederhana untuk tiga orang pada kadar RM70 dan bilik kecil untuk dua orang hanya RM50,” katanya.
Bagi mereka yang ingin menginap boleh menghubungi Syed Ben Bella di talian 013-7905485, 013-7754656 dan 013-3996032 atau emel rakitjojo@yahoo.com atau menerusi laman web www.rakitjojo.blogsport.com dan facebook/jojorakit. (Text dipetik dari Berita Harian)

Di Rumah Rakit

SEBUT sahaja rumah rakit rasanya ramai di kalangan generasi kini tidak dapat membayangkan rupa bentuknya yang sebenar. Mungkin ada yang beranggapan rumah rakit seperti rumah setinggan atau rumah 'kotai'.

Hakikatnya rumah rakit boleh dianggap sebagai calet di atas air yang boleh menenangkan fikiran daripada kesibukan kota dan tugas harian.

Untuk itu bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat terapi minda dengan menghayati keindahan semula jadi berkunjunglah ke Jojo Rakit yang terletak di Kampung Tanjung Buai, Teluk Sengat, di Kota Tinggi, Johor.

Rumah rakit yang beroperasi sejak setahun lalu dan milik tokoh korporat terkenal, Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir, itu terletak tujuh kilometer dari bersimpangan Jalan Kota Tinggi - Desaru.

Pengurus Jojo Rakit, Syed Ben Bella Syed Agil Al Habshee, 44, berkata, antara perkhidmatan yang terdapat di rakit itu ialah bilik penginapan standard dan keluarga.

Katanya, bagi bilik standard untuk dua orang berharga RM150, bilik keluarga untuk empat orang berharga RM200.

"Kita turut menyediakan sewaan bot memancing RM80 sehari dan bot laju untuk mengelilingi Pulau Tanjung Surat serta menyelusuri Sungai Lebam dikenakan bayaran RM400.

"Bagi mereka yang berminat untuk berkenu kita turut menyediakan kemudahan itu iaitu RM15 sejak dan bagi kegiatan memancing di rakit dikenakan bayaran RM50 semalam," katanya.

Selain itu kata Syed Ben Bella, di rakit itu juga terdapat kemudahan restoran, karaoke, bilik air, tempat BBQ dan surau.

Katanya, untuk keselesaan pengunjung, rakit turut dilengkapi dapur bagi membolehkan mereka memasak terutama hasil tangkapan yang diperoleh.

"Cakap sahaja nak makan ketam, belangkas, siput gong-gong, ikan sikap, kerapu, kupang dan makanan eksotik lain semua ada dan boleh dinikmati dalam keadaan segar.

"Keunikan lain yang terdapat di rakit kami yang terletak di muara Sungai Johor ialah ia dikelilingi tiga tanjung iaitu Tanjung Langsat, Tanjung Surat dan Tanjung Serindit serta pulau Singapura.

"Pada waktu malam kita akan nampak kapal-kapal dagang dengan lampu terang benderang bagaikan sebuah bandar," katanya.

Menurutnya, rakit yang boleh menampung sekitar 100 orang dalam satu masa itu, kini dikendalikan empat petugas dengan enam bot termasuk dua bot laju.

Katanya, waktu paling ramai pengunjung ialah semasa cuti umum dan musim cuti sekolah.

"Berdasarkan maklum balas, setiap pengunjung yang datang ke sini mereka memberikan komen, tempat ini cukup kaya dengan keindahan semula jadi dan ada kalangan mereka yang sanggup berulang kali ke sini," katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi beliau sendiri di talian 019-7720641 atau 013 7754656.

(dipetik dari Utusan Malaysia)