SEBUT sahaja rumah rakit rasanya ramai di kalangan generasi kini tidak dapat membayangkan rupa bentuknya yang sebenar. Mungkin ada yang beranggapan rumah rakit seperti rumah setinggan atau rumah 'kotai'.
Hakikatnya rumah rakit boleh dianggap sebagai calet di atas air yang boleh menenangkan fikiran daripada kesibukan kota dan tugas harian.
Untuk itu bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat terapi minda dengan menghayati keindahan semula jadi berkunjunglah ke Jojo Rakit yang terletak di Kampung Tanjung Buai, Teluk Sengat, di Kota Tinggi, Johor.
Rumah rakit yang beroperasi sejak setahun lalu dan milik tokoh korporat terkenal, Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir, itu terletak tujuh kilometer dari bersimpangan Jalan Kota Tinggi - Desaru.
Pengurus Jojo Rakit, Syed Ben Bella Syed Agil Al Habshee, 44, berkata, antara perkhidmatan yang terdapat di rakit itu ialah bilik penginapan standard dan keluarga.
Katanya, bagi bilik standard untuk dua orang berharga RM150, bilik keluarga untuk empat orang berharga RM200.
"Kita turut menyediakan sewaan bot memancing RM80 sehari dan bot laju untuk mengelilingi Pulau Tanjung Surat serta menyelusuri Sungai Lebam dikenakan bayaran RM400.
"Bagi mereka yang berminat untuk berkenu kita turut menyediakan kemudahan itu iaitu RM15 sejak dan bagi kegiatan memancing di rakit dikenakan bayaran RM50 semalam," katanya.
Selain itu kata Syed Ben Bella, di rakit itu juga terdapat kemudahan restoran, karaoke, bilik air, tempat BBQ dan surau.
Katanya, untuk keselesaan pengunjung, rakit turut dilengkapi dapur bagi membolehkan mereka memasak terutama hasil tangkapan yang diperoleh.
"Cakap sahaja nak makan ketam, belangkas, siput gong-gong, ikan sikap, kerapu, kupang dan makanan eksotik lain semua ada dan boleh dinikmati dalam keadaan segar.
"Keunikan lain yang terdapat di rakit kami yang terletak di muara Sungai Johor ialah ia dikelilingi tiga tanjung iaitu Tanjung Langsat, Tanjung Surat dan Tanjung Serindit serta pulau Singapura.
"Pada waktu malam kita akan nampak kapal-kapal dagang dengan lampu terang benderang bagaikan sebuah bandar," katanya.
Menurutnya, rakit yang boleh menampung sekitar 100 orang dalam satu masa itu, kini dikendalikan empat petugas dengan enam bot termasuk dua bot laju.
Katanya, waktu paling ramai pengunjung ialah semasa cuti umum dan musim cuti sekolah.
"Berdasarkan maklum balas, setiap pengunjung yang datang ke sini mereka memberikan komen, tempat ini cukup kaya dengan keindahan semula jadi dan ada kalangan mereka yang sanggup berulang kali ke sini," katanya.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi beliau sendiri di talian 019-7720641 atau 013 7754656.
(dipetik dari Utusan Malaysia)

0 comments:
Post a Comment